Thursday, January 10, 2013


Keluarlah dari kepompong 'kemiskinan'.

Kaya lawan kepada miskin dan miskin lawan kepada kaya. Ramai antara individu dalam masyarakat kita hari ini menganggap kekayaan hanya milik insan tertentu tanpa perlu kita  memikirkan tentang kekayaan. Ada pula yang beranggapan sekadar cukup dan stabil dengan pendapatan bulanan untuk bayar api, air, belanja dapur, persekolahan anak-anak, ada kereta dan rumah yang biasa-biasa. Alhamdulillah, satu sifat yang baik apabila dapat bersabar dengan kenaikan gula, tepung, minyak, tol, yuran sekolah, barang-barang lain.  Bagi manusia yang dibelenggu hutang dan kemiskinan setiap hari merasa resah dan gelisah ke mana hendak dipinjam lagi esok dan hari-hari seterusnya. Islam tidak menggalakkan kemiskinan dan mengharapkan agar umatnya dijauhi dengan taraf hidup begini di dunia apatah lagi di akhirat!

Hadis Rasulullah dari hadis Hajjaj bin Farafisah dari Yazid al-Ruqashi dari Anas bin Malik r.a.
كاد الفقر أن يكون كفرا
Bermaksud: “"Maka sesungguhnya kefakiran itu hampir-hampir mengundang kekufuran”." 

Menurut Ali al-Qary dalam al-Mirqaat: Hadis itu adalah hadis yang sangat lemah. Menurut beberapa kitab takhrij, hadits tersebut di atas berstatus dhaif kerana dalam sanadnya terdapat Yazid ar-Ruqashi yang dinilai oleh para ulama hadits sebagai perawi yang dhaif. Bagaimanapun kesahihannya dikaitkan dengan sifat 'kemiskinan' hati yang membawa kepada kebimbangan dan kerisauan setiap masa seterusnya membawa kepada perasaan tidak redha pada takdir Allah. Apa yang lebih dibimbangi ialah dalam kalangan orang miskin mempersoalkan Allah dalam hal pembahagian rezeki.

Maksud kekufuran dalam hadis ini juga ialah akan berlakunya pertikaian di kalangan mereka akibat tidak berpuas hati apabila ada di kalangan mereka yang hidup senang dan ada yang melarat.

Pertikaian ini boleh merosakkan keyakinan akidah kepada Allah Yang Maha Memberi dan Allah jua layak menentukan pemberian rezeki kepada makhluk-Nya.

Dalam riwayat yang lain menyebut 'al-faqr' iaitu kefakiran dengan lebih jelas dan lebih sohih beserta sanad yang kuat melalui satu hadith Nabi Muhammad SAW yang bermaksud: 

"“Ya Allah sesungguhnya aku berlindung dengan-Mu dari kefakiran, kekurangan, kehinaan dan dari menzalimi orang lain atau dizalimi oleh orang lain”."

(Musnad Ahmad, hadis nombor: 8053; Adab al-Mufrad, al-Bukhary, hadis nombor: 678; Sunan Abu Daud, hadis nombor: 1539, Sunan al-Nasa’iy, hadis nombor: 5460; Sunan Ibnu Majah, hadis nombor: 3842; Ibnu Hibban, hadis nombor 1030; Mustadrak, al-Hakim, hadis nombor: 1983; al-Sunan al-Kubra, al-Baihaqy, hadis nombor: 12929 - isnadnya sahih dan Al-Albany juga mengkategorikannya sebagai hadis sahih dalam Sahih al-Jami’, hadis nombor: 1287).


Wujud pelbagai tahap manusia adalah bukti bahawa kekuasaan Allah mentadbir dan mengatur kehidupan manusia. Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya: 

"Sesungguhnya apabila Allah S.W.T. telah mengurniakan sesuatu nikmat kepada hamba-Nya, Dia suka melihat kesan nikmat yang telah dikurniakan itu. Allah S.W.T. benci melihat orang yang menzahirkan kefakiran dan orang yang meminta-minta serta Allah S.W.T. mengasihi orang yang bersifat malu dan memelihara kehormatan."
Hadith riwayat al-Baihaqi.

Kesenangan merupakan ujian Allah hasil usahanya yang gigih, selepas itu bertawakkal dan akan ditanya oleh Allah ke mana kekayaan itu disalurkan. 

Kemiskinan juga merupakan ujian Allah, jika sudah berikhtiar bersungguh-sungguh untuk mengubahnya maka bersabarlah. Kemiskinan bukan menjadi alasan untuk lepas dari pertanyaan Allah, kenapa tidak berusaha dengan usaha gigih untuk membaiki taraf dan kualiti hidup, sedang Allah tidak akan menyekat hasil usaha hamba-Nya. 

Segala khazanah dan kekayaan alam ciptaan Allah jadikan untuk manusia mengambil manfaat darinya, supaya sosio-kehidupan manusia lebih terjamin di samping merasakan dirinya wajib mensyukuri nikmat yang tidak terhingga ini. Malangnya ramai umat Islam yang lalai membawa watak si kaya yang bersyukur atau si miskin yang tidak merungut.

Umat Islam mampu keluar dari kepompong kemiskinan dan kefakiran dengan usaha yang bersungguh-sungguh serta tawakal yang berterusan kepada Allah.

Si kaya yang dilanda kemiskinan sifat syukur kepada Allah juga tidak harus dipandang sepi. Mereka juga harus berusaha mendekatkan diri kepada Allah dengan  melaksanakan amalan zakat, infaq, waqaf dan sedekah yang bertujuan menyucikan hati dan harta.

Khubeib bin Adi RA berkata, “Kami sedang berada di suatu majlis, tiba-tiba Rasulullah SAW datang dan di kepalanya terdapat bekas air.” Sebahagian dari kami berkata, “Kami melihat engkau berjiwa tenang.” Baginda mejawab, “Ya, Alhamdulillah.” Kemudian sahabat-sahabat berdiskusi panjang lebar tentang hakikat kekayaan. Maka Rasulullah SAW bersabda,“Tidak mengapa kekayaan itu bagi orang bertakwa dan kesihatan bagi orang bertakwa lebih baik dari kekayaan, sedangkan ketenangan dan kekayaan jiwa termasuk dalam kenikmatan.” - Riwayat Ibnu Majah.

Sabda Rasulullah saw.:
"Tiada sesuatu makanan yang baik melebihi apa yang dihasilkan dari usahanya sendiri. Nabi Allah Daud makan dari hasil usahanya sendiri." - Riwayat Bukhari